Selasa, 21 Julai 2009

Pantun Melayu Warisan Bangsa..

Buah jering di atas para,
Diambil budak sambil berlari;
Kering laut tanah Melaka,
Baru saya mungkir janji.

Bangsal di hulu kerapatan,
Sayang durian gugur bunganya;
Sesal dahulu pendapatan,
Sesal kemudian apa gunanya.

Lipat kain bersimpul pulih,
Mari ditaruh haluan perahu;
Tempat main boleh dipilih,
Tempat jatuh siapa yang tahu.

Berapa tinggi pucuk pinang,
Tinggi lagi asap api;
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi harap dihati.

Pulau Sembilan tinggal delapan,
Satu merajuk ke Kuala Kedah,
Sudahlah nasib permintaan badan,
Kita di bawah kehendak Allah.

Pokok lada tumbuh sebatang,
Pokok cempedak sudahpun rebah;
Selagi ada bulan dan bintang,
Kasihku tidak akan berubah.

Burung merak lebat bulunya,
Dipikat pula oleh Cik Baba;
Emas dan perak harta dunia,
Ingatlah Tuhan ingatlah keluarga.